Showing posts with label SEKOLAH. Show all posts
Showing posts with label SEKOLAH. Show all posts

Monday, 6 July 2009

Rotan = Disiplin ?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.

ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.
Walaupun dulu ramai anggota masyarakat yang tidak menyokong hukuman ini dan lebih memilih sesi kaunseling, kini masyarakat merasakan ia jalan penyelesaian terbaik.

Jika mengimbau persekolahan zaman 60-an dan 70-an, jika guru merotan pelajar yang melakukan kesalahan, ia perkara biasa dan mendapat sokongan ibu bapa.
Murid atau pelajar sedar jika dirotan, ia adalah kerana kesalahan sendiri dan mereka tidak berani mengadu kepada ibu bapa kerana aduan itu tidak dilayan, sebaliknya mereka mungkin dirotan lagi.

Memang sakit apabila dirotan, tetapi kebanyakan pelajar yang pernah menerima hukuman itu, kini menjadi manusia berguna, memegang jawatan tinggi dan disegani masyarakat.

Malah, ada pelajar yang pernah dirotan berterima kasih kepada guru kerana mengambil tindakan berkenaan.

Tetapi, suasana kini berbeza kerana hukuman merotan dianggap ketinggalan zaman dan guru yang melakukan perbuatan itu mungkin menerima 'hukuman' ibu bapa.
Ada ibu bapa mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan polis atau memukul guru yang merotan anak mereka.

Disebabkan takut dikenakan tindakan undang-undang, rotan hanya disimpan dalam laci meja dan akibatnya, pelajar semakin liar dan tidak terkawal.
Saban hari, ada saja kes membabitkan disiplin pelajar dilaporkan malah polis terpaksa campur tangan.

Rentetan daripada perkembangan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Pejabat Peguam Negara membuat keputusan segera berhubung pelaksanaan hukuman merotan pelajar sekolah.

Beliau berpendapat sudah sampai masanya satu tindakan drastik dilakukan bagi menangani masalah disiplin pelajar sekolah.

"Peraturan sekarang yang melarang guru menyentuh pelajar menjadi kekangan utama melaksanakan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar.

"Justeru, bagi mengelak ibu bapa menggunakan saluran undang-undang terhadap guru yang merotan anak mereka, keputusan itu sangat diperlukan," katanya.
Katanya, pelajar tidak dihukum tanpa sebab dan ibu bapa perlu memahami guru merotan anak mereka bertujuan membendung mereka mengulangi kesalahan.

Dari segi kuasa merotan, hanya pengetua dan guru besar boleh melakukan, tetapi mereka boleh menurunkan kuasa itu kepada guru lain.
Bagaimanapun, hukuman rotan hanya boleh dilakukan selepas amaran bertulis dikeluarkan kepada pelajar.

Hukuman itu tidak boleh dilakukan di tempat terbuka, kesalahannya itu mesti direkodkan dan ada saksi ketika hukuman merotan.

Hakikatnya, boleh atau tidak hukuman merotan ini?

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Azreena Wan Jaafar, berkata kesesuaian hukuman rotan itu bergantung kepada usia anak atau pelajar.
Dari segi psikologi, bagi pelajar sekolah hukuman rotan pelajar adalah langkah terakhir, tetapi bagi murid sekolah rendah, ia tidak sesuai.

"Jika hukuman rotan dikenakan terhadap murid sekolah rendah, ia akan meninggalkan kesan negatif kepada mereka.
"Parut di rotan pasti boleh hilang, tetapi parut di hati mungkin menjadi dendam," katanya.

Azreena tidak menolak kemungkinan, tindakan itu mengakibatkan murid murung dan tidak mahu ke sekolah kerana takut dirotan.
"Apa yang paling membimbangkan, mereka juga mungkin terdorong untuk menjadikan rotan itu sebagai hukuman kepada sesiapa yang mereka rasakan melakukan kesalahan.
"Pada usia sekolah rendah, otak mereka cepat menangkap apa yang dilakukan orang dewasa.
"Ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat terhadap tumbesaran mereka," katanya.
Bagi pelajar di sekolah menengah, mereka mungkin boleh menerima hukuman berkenaan.

"Namun, kita juga perlu melihat, siapa yang merotan dan di mana ia dilakukan.
"Jika dilakukan pengetua atau guru disiplin dan dilaksanakan di tempat tertutup, ia tiada masalah.
"Bagaimanapun, jika yang merotan itu guru biasa dan dilakukan di khalayak ramai, mereka mungkin berdendam," katanya.
Emosi guru adakalanya tidak stabil dan tertekan. Jadi, jika guru biasa yang menjatuhkan hukuman, Azreena khuatir mereka akan memukul pelajar sekuat hati bagi menghilangkan tekanan itu.

Tetapi, itu tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak boleh dihukum. Elak memukul di bahagian sensitif seperti muka, perut atau kepala.
Pukul pula jangan terlalu kuat, cukup sekadar memberi 'pengajaran dan peringatan' supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud).

"Jika mahu memukul, lebih baik ibu bapa atau guru memukul anak dengan tangan kerana mereka dapat merasakan sendiri kesakitan dialami si anak," katanya.
Sementara itu, bapa kepada empat orang anak lelaki, Mohd Zaidi Syukri, 48, berkata beliau tidak ada masalah apabila anaknya dirotan kerana melakukan kesalahan.
"Jika hukuman itu boleh menyedarkan anak, kita patut menyokong, bukan membela anak yang melakukan kesalahan.
"Jika ibu bapa selalu membela, anak lebih berani melakukan kesalahan dan mungkin menconteng arang di muka kita nanti," katanya.
Menurut Zaidi, hukuman rotan bukanlah hukuman yang kejam kerana kesakitan dek rotan itu akan hilang juga.

Monday, 15 June 2009

GURU TINGKATAN 6 VS GURU CEMERLANG


Ya Allah, susahnya nak buat keputusan. Pening kepala dan serba tak kena. Tapi aku pilih ikut rasa hati hasil istikharahku. Nabi Muhammmad mengajarkan ummatnya melakukan Solat Istikharah dalam membuat sesuatu keputusan. Nabi menegaskan bahawa tidak akan rugi malah diberkati jika melakukan Solat Istikharah. Ya Allah, semoga aku diberkati dengan pilihan yang aku dah buat.

Ini semua bermula bila aku ditawarkan dua tawaran serentak. Guru akademik Tingkatan 6 DG 44 dan Guru Cemerlang DG 44. Memang susah nak buat keputusan. Ini semua kerana apabila perjawatan guru tingkatan 6 dinaiktarafkan dengan penstrukturan semula.

Guru Cemerlang.....jawatan yang memang lama aku idamkan. 'Fast track' untuk naik pangkat...ye lah kerja pun mesti cemerlanglah. Aku yakin aku boleh buat. Tapi sayang, aku buat keputusan hasil istikharahku.......aku TERPAKSA tolak. uhuk.....uhuk.....uhuk....

Pada awalnya jenuh tanya dan telefon sana sini. Telefon kawan, tapi tak berani bagi pandangan jelas. Telefon NUTP, cakap dengan En. Phoon. Dia kata kena pilih, terpaksa sebab jawatan guru tingkatan 6 dah naik taraf. Tak boleh pilih dua-dua maa....kalau sebelum ni boleh. Telefon kawan, Kamarul, dia kata' hang pilih sendiri la'. Pilih mana untung. Kat sekolah, tanya kak-kak PT deme kata pilih la mana berkenan. Tanya pengetua pun, dia kata hang pilih la sendiri. Lo....kalo lagu ni penin kpalo....... Dalam masa yang sama terpaksa buat keputusan. Solat Istikharah dah buat 4 kali.........hati lebih berat kepada Guru Tingkatan 6. Memang pun, masa mohon hari tu semua kekuatan yang menyokong permohonan adalah Subjek Sejarah1 STPM. Sebagai pemeriksa, Guru Sumber JPN Perak, buat blog, dan beberapa bahan lain berkaitan form 6.

Akhirnya, aku sign tolak Guru Cemerlang dengan hati yang cukup berat. Aku rasa kepakaran aku kat form 6. (Rasanya la) .Lagi pun dah lama ngajar form 6, dah tak ngajar kelas bawah. Rasa seronok pun ada. Masalah disiplin yang teruk-teruk tak da. Harap ok.

Aku harap akan ada perubahan dasar nanti. Guru Cemerlang boleh ngajar form 6. Harap-harap JPN dan Kementerian Pelajaran nampak benda ni....dah cemerlang patut boleh la ngajar form 6 sama, kan ?

Coretan hatiku .........sebab hati masih teringat-ingat Guru Cemerlang yang terpaksa ditinggalkan.....buat sementara kerana dasar KPM.

Thursday, 11 June 2009

Berhenti Merokok

dont smoke

Ramai pelajar dah jadi perokok sama ada perokok tegar atau suka-suka. Tabiat buruk ni sukar diubah. Perlakuan ini bermula seawal sekolah rendah lagi. Ia dianggap trend yang dibanggakan. Bila merokok nampak hebat, macho, dan rasa lebih dewasa. Perasan !

Tulisan ini adalah sekadar panduan. Pokok pangkalnya adalah hati anda. Kalau anda betul-betul nak berhenti merokok, tentu boleh. Kalau tak bersungguh-sungguh, macam-macamlah alasan akan diberi. INGATLAH : ULAMAK MUTTAKHIR MEMFATWAKAN MEROKOK ADALAH HARAM !!!!

Jangan merokok

Sihat sepanjang hayat. Merokok meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda untuk mendapat 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan angin ahmar atau strok. Merokok boleh memberi kesan kepada hampir setiap organ dan tisu badan.

Mengapa saya harus berhenti merokok?

Merokok memberi keburukan kepada semua orang. Ia tidak memberi kebaikan kerana:

  1. Merokok memberi kesan buruk kepada orang di sekeliling anda terutama ahli keluarga.
  2. Ibu yang mengandung boleh melahirkan anak tidak cukup bulan, kurang berat badan atau mati selepas lahir.
  3. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok boleh:
    • Sering sakit dengan mengalami batuk-batuk, selsema serta jangkitan telinga, hidung dan tekak
    • Mengalami perkembangan paru-paru yang lemah
    • Mendapat asma

Apakah faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok?

Keputusan untuk berhenti merokok adalah untuk kebaikan diri sendiri dan kesihatan keluarga anda. Faedah-faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok ialah:

  • Panjang umur - Satu dari dua perokok akan mati lebih awal disebabkan penyakit berkaitan merokok. Merokok membunuh hampir 5 ribu rakyat Malaysia setiap tahun.
  • Mengelakkan dari bahan-bahan berbahaya - Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
  • Mencegah penyakit - Hampir 40 jenis penyakit yang berkait dengan merokok. Kanser paru-paru, sakit jantung, penyakit paru-paru yang kronik,strok dan ulser di bahagian lapisan kulit perut adalah antara penyakit-penyakit bahaya akibat tabiat merokok
  • Kehidupan yang lebih sihat - Mereka yang tidak merokok kurang mendapat batuk, selsema dan lain-lain penyakit pernafasan berbanding dengan perokok
  • Mencegah daripada mendatangkan keburukan kepada orang lain - bila anda merokok, ia memberi kesan kepada orang di sekeliling anda, di mana asap rokok tersebut boleh mendatangkan serangan asma dan lain-lain penyakit berkaitan dengan pernafasan
  • Menjadi contoh yang baik terutama untuk keluarga dan anak-anak.
  • Meningkatkan tahap kecergasan dan memiliki badan yang sihat
  • Meningkatkan deria bau dan rasa
  • Memiliki gigi yang putih dan nafas yang segar
  • Rambut dan pakaian tidak berbau asap rokok
  • Menjimatkan wang - Labur wang anda berbanding membeli rokok (RM5.00 sehari, pelaburan =RM 150.00 sebulan = RM 1800.00 setahun. Jika anda melabur untuk 10 tahun, anda sudah mempunyai RM18,000.00 dalam akaun simpanan anda).
  • Melindungi alam sekitar - Puntung rokok dibuang oleh perokok boleh menyebabkan kebakaran
  • Meningkatkan kesuburan.
  • Meningkatkan tahap 'kelakian'

Bagaimana hendak berhenti merokok?

Pelajari kaedah-kaedah yang betul. Banyak kaedah untuk berhenti merokok. Faktor yang paling penting adalah keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan.

  • Tetapkan tarikh untuk berhenti
  • Yakin diri
  • Buatkan nota peringatan
  • Katakan pada diri anda "saya bukan perokok"
  • Sentiasa berfikiran positif
  • Dapatkan sokongan
  • Gunakan terapi penganti nikotin
  • Amalkan 12M untuk berhenti merokok


Teknik berhenti merokok

Tip Berhenti Merokok 12 M :

  1. Melengah-lengahkan
    • Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar
  2. Menarik nafas panjang
    • Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan
  3. Minum air
    • Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein
  4. Menyibukkan diri
    • Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok
  5. Menjauhkan diri
    • Daripada orang yang merokok
  6. Mengelakkan diri
    • Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok
  7. Mengunyah sesuatu
    • Seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis
  8. Membasuh tangan selalu
  9. Mandi dengan kerap
  10. Meregangkan otot
    • Lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk
  11. Meditasi
  12. Memohon doa
    • Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha


Adakah saya kuat merokok? Adakah saya mengalami ketagihan rokok?

Anda boleh menentukan kebergantungan anda kepada tembakau dengan menjawab soalan-soalan di bawah.

cigarette


Status kebergantungan.

Ujian Modifikasi Fagerstrom untuk kebergantungan nikotin

  1. Berapa lama anda menghisap rokok yang pertama selepas anda bangun dari tidur?
    • Dalam masa 5 minit (3 mata)
    • 5 hingga 30 minit (2 mata)
    • 31 hingga 60 minit (1 mata)
    • Selepas 60 minit (0 mata))
  2. Adakah anda merasa sukar untuk tidak merokok di tempat larangan merokok seperti di gereja, sekolah, panggung wayang, perputakaan, dalam bas, di mahkamah atau di hospital?
    • Ya ( 1 mata)
    • Tidak ( 0 mata)
  3. Waktu merokok manakah yang paling anda benci untuk berhenti, waktu merokok manakah yang anda hargai
    • Yang pertama di pagi hari ( 1 mata )
    • Sebarang masa ( 0 mata )
  4. Berapa batang rokok anda hisap setiap hari?
    • 10 atau kurang ( 0 mata )
    • 11 hingga 20 ( 1 mata )
    • 21 hingga 30 ( 2 mata
    • 31 atau lebih ( 3 mata)
  5. Adakah anda merokok lebih banyak dalam beberapa jam pertama selepas bangun tidur berbanding dengan waktu lain pada hari tersebut?
    • Ya ( 1 mata )
    • Tidak ( 0 mata
  6. 6. Adakah anda masih merokok walaupun sakit dan berada di atas katil sepanjang hari, atau semasa mendapat selsema dan sukar untuk bernafas?
    • Ya ( 1 mata )
    • Tidak ( 0 mata )

    Pemarkahan:

    • 7 hingga 10 mata = sangat bergantung
    • 4 hingga 6 mata = sederhana
    • Kurang dari 4 mata= minima

Modified Fagerstrom test for evaluating intensity of physical dependence on nicotine. Adapted permission from Heatherton TF, Kozlowski LT, Frecker RC, Fagerstrom KO. The Fagerstrom test for nicotine dependence: a revision of the Fagerstrom Tolerance Questionnaire. Br J Addict 1991;86:1119- 27.


Kumpulan Sokongan

Malaysia Council For Tobacco Control (MCTC)

Monday, 18 May 2009

HORMATILAH GURU…………SELAMAT HARI GURU 2009

Selamat Hari Guru kepada semua rakan guru. Kepada semua pelajar hargailah guru anda. Tidak semestinya hadiah sebagai tanda penghargaan, tetapi buatlah sesuatu yang menggembirakan hati guru anda. Kalau bagi hadiah memang 'besar' rasa hati guru yang mendapatnya. Betul......hemmmm. Bukan harga jadi taruhan, tapi ingatan tulus ikhlas tu. Saya ni cikgu yang kira garang juga. Tapi tengok tempat la. Emmmm, ada yang suka dan ramai juga dok membenci saya...biasalah cikgu disiplin. Ini jer lah hadiah yang saya dapat........yang orang beri ke saya.

OK. Yang saya nak paparkan sekarang adalah perkara yang membuatkan guru pening kepala terutama guru disiplin dan guru ambil berat soal akhlak pelajarnya. Perkara ni membuatkan guru tak meredhai kamu !

Patut ka budak sekolah bawa rokok ke sekolah ?? Patut ka budak sekolah merokok dan jual rokok ? Patut ka budak sekolah pakai seluar ketat ? Patut ka ........... Tolonglah fikir wahai budak sekolah sempena Hari Guru yang kamu tolong sambut ni.....Fikirlah pasal maruah diri…….. !

Simpan rokok dalam beg…… sekotak yop !!!

Rokok jenis apa tu ?

Dah diingatkan berkali-kali pasal rokok tapi buat pekak !

Nah, isap puas-puas ! tapi acah jer….

Kaki seluar standard dikecilkan macam seluar kartun !

Sunday, 3 May 2009

Buat Blog Lagi .........

Masa mesyuarat kat Pangkor hari tu, team Laman Web Sejarah ikut sekali. Em, nampak ok. Tapi yang nampak sibuk sekali rakan satu sekolah saya, Rohaiza. Saya dan team buat soalan sibuk bincang pasal soalan percubaan Sejarah 1 Negeri Perak.

Rupanya kat Pangkor tu hari Rohaiza udah buatkan blog untuk Gemilang Sejarah STPM JPN Perak. Sebab untuk PMR dan SPM dah ada. Dia tak cakap apa-apa pun masa kat Pangkor.

Rupanya tugas selanjutnya diserahkan kepada saya. Ikut katanya saya kena make up dan masukkan bahan ke blog tu. Kiranya tak jadi hal lah. Tapi bertambahlah kerja saya. Berblog lagilah saya...... tapi saya minat tak apa. Tapi slow-slow lah sikit..... banyak kerja lain nak buat.

Langkah permulaan, saya nak cakap sori kat Rohaiza sebab saya ubah layout dan segalanya kecuali username dan password. Ikut selera saya lah.... OK ye Rohaiza. Tentang pengisiannya kena bincang sikit. Apa kehendak JPN. Kata nak upload soalan Percubaan.... gi mana tu ? Tak ker bocor nanti kalau tak bubuh password.

Apa pun saya kan buat sehabis baik jika tugas ini diteruskan untuk saya lakukan. 7-9 Mei ni team soalan STPM akan berkampung kat Hotel Berjaya, Pulau Pinang. Jumpa semua di sana.
OK. ...........

Monday, 2 February 2009

Pencalar kereta.........

Akhirnya saya dapat mencari jawapan siapa yang yang mencalar kereta saya tahun lepas (2008). Calar yang panjang. Sampai sekarang saya tak cat lagi sebab belanjanya besar. Bukan boleh tampal macam tu jer.

Kamu nak tau sapa budak yang calar kereta saya. Tak nak tau pun saya nak dedahkan. Budak yang tak punya perasaan tu adalah adik Monok, Fahmi namanya yang telah diberhentikan sekolah atas sebab ponteng sekolah. Sepatutnya dia tingkatan 3 sekarang.

Apalah kamu ni Fahmi !!!! Kamu kena bayar tau. Dianggap hutang sampailah kamu mati. Biar jadi kenangan kamu sampai kamu ada anak dan bila kamu tua, baru kamu fikir sendiri. Tak patutnya perlakuan kamu pada saya. Kamu akan berlawan dengan perasaan kamu nanti. Itu pun jika kamu ada perasaan............

Jumpa saya..............kalau nak selesai.......

Saturday, 31 January 2009

3 PERPISAHAN !!!!!

Perpisahan 1

Saya sepatutnya post entri ni semalam tapi sibuk sikit. Malam juga sibuk kerana gi Stadium Bakri Rais. Nak dengar ucapan MB Perak Ir Nizar dan YB Nasaruddin yang kononnya berhijrah parti. Tapi MB Perak tak datang dan ucapan YB Nasaruddin pun tak banyak perkara yang disentuhnya. YB Nasa mengucapkan perpisahannya dengan UMNO dan berhijrah menyertai KeADILan. Tapi daripada ucapannya saya tak nampak kesungguhnya. Tapi entahlah .
Saya rakyat biasa yang datang kerana nak tahu perkembangan semasa secara 'direct'. Tak salah rasanya saya pergi stadium tu kan ? Janganlah sampai ada pihak yang terlampau sempit siasah politiknya sehingga menimbulkan polemik.

Tapi saya balik awal masa YB Anwar Ibrahim berucap, sebab niat saya hanya nak dengar ucapan MB dan YB Nasa saja.

Perpisahan 2

Rakyat Gaza terpaksa mengalami perpisahan yang amat memilukan. Kalau kita, kita berpisah dan mengeluarkan air mata dengan mak ayah dan adik beradik hanya setakat berjauhan dan kematian biasa. Itu normal. Tapi rakyat Palestin khususnya di Gaza mengalami perpisahan yang amat memilukan. Ceramah Pn Hashimah pada pagi Jumaat, 30 Januari 09 dari Aman Palestin sangat menyentuh qalbu. " Air Mata Palestin " terjadi kerana perpisahan yang dipaksa, direntap, dihina, disiksa dan segala yang memedihkan. Yahudi Israel semuanya dari budak kecil sampai orang tua semua laknat ! Laknat ! Laknat ! Laknat! Semoga ALlah melaknat mereka.

Rakyat Gaza di bunuh, disembelih, diletupkan tanpa belas kasihan. Anak-anak meratapi kematian emak ayah. Meratapi kematian insan yang disayangi. Berpisah segalanya. Harta, keamanan, hak sosial, hak bersuara, diragut dari mereka.

Serangan darat , laut dan udara tanpa henti. Kejam ! Tanpa mengira kanak-kanak, orang tua, wanita, masjid , rumah, dsbnya bom dan roket dilancar dengan ganasnya. Tanpa senjata dan hanya batu-batu rakyat Palestin Gaza meneruskan jihad. Tanpa bantuan jiran Arab Islam yang lain Palestin terus tabah. Pemimpin Arab lain jadi kuda kayu tunggangan Amerika dan Israel.

"Ya, Allah, hati aku benar-benar tersentuh. Ya Allah, Ampunilah dosa-dosa aku, dosa kaum muslimin dan muslimat, agar dosa kami tidak menjadi hijab dan halangan terhadap rahmatMU kepada kami. Ya Allah, menangkan Islam dan hancurkan Yahudi dan Nasrani. Pecah belahkan pakatan mereka. Engkaulah penolong yang paling berkuasa."

Semoga Allah memenangkan Islam dan mujahidin Palestin. Islam pasti menang !

Ingat isu Palestin bukan hanya isu sebuah negara tapi isu maruah kita ummat Islam ! Teruskan berdoa dan qunut nazilah. Buatlah sumbangan semampu mungkin. Boikot jangan lupa !!

Perpisahan 3

Jumaat, 30 Januari juga merupakan majlis perpisahan buat En. Saidin bin Osman, Pengetua Cemerlang DG 52 yang bertukar ke SMK Gunung Rapat. Beliau hanya sempat berkhidmat di SMK DARY selama 577 hari sahaja. Banyak juga hadiah yang disampaikan kepada beliau daripada pelajar-pelajar.

Antara yang beliau sentuh dalam ucapannya ialah tentang kesedaran bahawa kita semua adalah pemimpin. Pemimpin mengikut bidang tugas masing-masing. Ketua kelas, AJK Kelas, pengawas, ketua pengawas, ketua umum, guru biasa, penolong kanan, dsbnya semua mempunyai peranan. Semua kena mainkan peranan masing-masing.

Beliau juga menekankan 'SMKDARIAN' boleh lebih cemerlang jika ( antaranya) pelajarnya tidak lompat pagar, tiada kegiatan merokok, tidur dalam kelas dan berbagai perbuatan negatif yang lain. Fikir-fikirkan lah .

Semoga beliau terus maju jaya !

Thursday, 29 January 2009

Bertukar.........

Pengetua SMK DARY, En. Saidin Osman akan bertukar ke SMK Gunung Rapat. Saya tak tau nak ucap tahniah atau tak. Sebab pengetua memang dah DG52. Nak kata naik pangkat tak juga. Cuma pertukaran tempat kerja. Mungkin lebih menyusahkan sebab rumah di Bota. Jauh berulang-alik.

Mungkin lepas ni, lebih cepat naik pangkat. Maka saya ucap tahniah awal-awal. Moga pertukaran ini merupakan takdir yang baik buat En. Saidin.

Friday, 23 January 2009

Larian Merentas Desa 2009

Hari ni final merentas desa. Tak belajar hari ni...... Budak-budak ramai juga yang datang. Ada yang lama tak datang sekolah pun datang. Sebab tak belajar kot. Ni lah sikap yang merugikan kamu, budak Melayu !!!

Hari ni kereta 'parking' tepi padang. Tempat biasa letak dah penuh. Hari ni mana-mana budak yang lepak kat cikgu terutama kereta saya, saya 'halau'. Nanti kena calar, payah ! Tu pun masih ramai yang tak faham bahasa.

Lepas habis merentas desa, Puan Mashitah datang ke meja saya. Ingat pasal apa. Rupanya bertanya khabar kereta kena calar. Terima kasih la kerana ambik tau. Katanya cikgu Sazali yang bagi tau. Memang inilah asam garam guru disiplin.

Kalau lembut sangat tak boleh, kasar pun tak boleh, kalau tak ambik tau langsung lagi tak boleh. Habis apa yang boleh ???? Haaaaaa.....budak-budak Dary's..... Kome nak dididik ke tak nak ??? Kalo tak nak kat sekolah ni......dok rumah.......Kome kena didik jiwa kome ikut disiplin kerana ia adalah peraturan untuk kebaikan kome sendiri.

Fikirkan !

Wednesday, 21 January 2009

Hutang perlu di bayar........

Semasa perhimpunan pagi tadi, Puan Hajjah Faridah selaku guru bertugas menyentuh tentang dosa dan mengaitkan dengan kereta saya yang kena calar. Bagus juga cara dia membuat perkaitan.

Pelajar tersebut telah membuat dosa kerana merosakkan harta orang lebih-lebih lagi guru mereka sendiri. Bahkan dianggap sebagai hutang kerana kerosakan yang dibuat perlu dibayar. Dalam Islam, hutang wajib dibayar.

Saya harap pelajar berkenaan sedar akan salah perbuatannya. Saya belum dapat memaafkan pelajar tersebut kerana tindakan ke atas saya sudah melampau.

Tuesday, 20 January 2009

KENA CALAR LAGI.......

Hari ni ada latihan merentas desa. Macam biasa saya ditugaskan mengawal disiplin pelajar. Mood tak berapa baik hari ni. Entah rasa semacam.......... rasa tak sedap hati. Lebih kurang pukul 10 saya pergi check kereta.....alamak kena calar lagi ! Entah kali keberapa.

Aduh, budak-budak ni. Kalau marah pun , janganlah calar kereta. Diorang ingat harga seribu dua ribu ke ? Tak de perasaan langsung.

Saya rasa tak leh terima yang kali ni. Geram dan kesal. Apa nak jadi budak Melayu ! Terlintas di hati kali ni biar dilaknat Allah budak-budak berkenaan. Biar dapat pengajaran!

Ada seorang cikgu lelaki mengeluh macam mana nak laksanakan sistem demerit. Saya jawab spontan, yang jadi masalah ialah cikgu-cikgu tak nak sama-sama komitmen tegur pelajar. Majoriti ambik jalan mudah. Tutup mata, pekak telinga. Tapi tak juga popular dikalangan pelajar. Mana slogan kata semua guru tu guru disiplin ??

Ramai tak dapat menyelami apa saya rasa selagi harta benda mereka tak 'kena'. Bila kereta dah kena calar baru tau nak melenting ! Macam jadi sebelum ni . Barulah bising, minta siasat. Tak tau kereta kita pun kena calar tak ada sapa nak ambik tau , walaupun dah tau !!!!!!!! Sebabnya mereka tak dapat rasa apa yang saya rasa !!

Pelajar berkenaan, moga Allah beri pengajaran , moga dilaknat ALLah, ikut kehendakNya!!!!!

Coretan rasa tak puas hati...........