Saturday, 18 July 2009

ISRAK DAN MIKRAJ

Peristiwa mengenai Israk & Mikraj – untuk renungan bersama

  1. Sebelum Israk dan Mikraj

    Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

  1. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa) :

    Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

    i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S.. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);

    Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang) .
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka..
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat..
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

  • Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
  • Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

  • Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

  • Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

  • Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
  • Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
  • Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

  • Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya..
  • Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:


Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.


4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W.. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa` id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

wallahua'lam. .

Monday, 6 July 2009

Rotan = Disiplin ?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.

ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.
Walaupun dulu ramai anggota masyarakat yang tidak menyokong hukuman ini dan lebih memilih sesi kaunseling, kini masyarakat merasakan ia jalan penyelesaian terbaik.

Jika mengimbau persekolahan zaman 60-an dan 70-an, jika guru merotan pelajar yang melakukan kesalahan, ia perkara biasa dan mendapat sokongan ibu bapa.
Murid atau pelajar sedar jika dirotan, ia adalah kerana kesalahan sendiri dan mereka tidak berani mengadu kepada ibu bapa kerana aduan itu tidak dilayan, sebaliknya mereka mungkin dirotan lagi.

Memang sakit apabila dirotan, tetapi kebanyakan pelajar yang pernah menerima hukuman itu, kini menjadi manusia berguna, memegang jawatan tinggi dan disegani masyarakat.

Malah, ada pelajar yang pernah dirotan berterima kasih kepada guru kerana mengambil tindakan berkenaan.

Tetapi, suasana kini berbeza kerana hukuman merotan dianggap ketinggalan zaman dan guru yang melakukan perbuatan itu mungkin menerima 'hukuman' ibu bapa.
Ada ibu bapa mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan polis atau memukul guru yang merotan anak mereka.

Disebabkan takut dikenakan tindakan undang-undang, rotan hanya disimpan dalam laci meja dan akibatnya, pelajar semakin liar dan tidak terkawal.
Saban hari, ada saja kes membabitkan disiplin pelajar dilaporkan malah polis terpaksa campur tangan.

Rentetan daripada perkembangan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Pejabat Peguam Negara membuat keputusan segera berhubung pelaksanaan hukuman merotan pelajar sekolah.

Beliau berpendapat sudah sampai masanya satu tindakan drastik dilakukan bagi menangani masalah disiplin pelajar sekolah.

"Peraturan sekarang yang melarang guru menyentuh pelajar menjadi kekangan utama melaksanakan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar.

"Justeru, bagi mengelak ibu bapa menggunakan saluran undang-undang terhadap guru yang merotan anak mereka, keputusan itu sangat diperlukan," katanya.
Katanya, pelajar tidak dihukum tanpa sebab dan ibu bapa perlu memahami guru merotan anak mereka bertujuan membendung mereka mengulangi kesalahan.

Dari segi kuasa merotan, hanya pengetua dan guru besar boleh melakukan, tetapi mereka boleh menurunkan kuasa itu kepada guru lain.
Bagaimanapun, hukuman rotan hanya boleh dilakukan selepas amaran bertulis dikeluarkan kepada pelajar.

Hukuman itu tidak boleh dilakukan di tempat terbuka, kesalahannya itu mesti direkodkan dan ada saksi ketika hukuman merotan.

Hakikatnya, boleh atau tidak hukuman merotan ini?

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Azreena Wan Jaafar, berkata kesesuaian hukuman rotan itu bergantung kepada usia anak atau pelajar.
Dari segi psikologi, bagi pelajar sekolah hukuman rotan pelajar adalah langkah terakhir, tetapi bagi murid sekolah rendah, ia tidak sesuai.

"Jika hukuman rotan dikenakan terhadap murid sekolah rendah, ia akan meninggalkan kesan negatif kepada mereka.
"Parut di rotan pasti boleh hilang, tetapi parut di hati mungkin menjadi dendam," katanya.

Azreena tidak menolak kemungkinan, tindakan itu mengakibatkan murid murung dan tidak mahu ke sekolah kerana takut dirotan.
"Apa yang paling membimbangkan, mereka juga mungkin terdorong untuk menjadikan rotan itu sebagai hukuman kepada sesiapa yang mereka rasakan melakukan kesalahan.
"Pada usia sekolah rendah, otak mereka cepat menangkap apa yang dilakukan orang dewasa.
"Ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat terhadap tumbesaran mereka," katanya.
Bagi pelajar di sekolah menengah, mereka mungkin boleh menerima hukuman berkenaan.

"Namun, kita juga perlu melihat, siapa yang merotan dan di mana ia dilakukan.
"Jika dilakukan pengetua atau guru disiplin dan dilaksanakan di tempat tertutup, ia tiada masalah.
"Bagaimanapun, jika yang merotan itu guru biasa dan dilakukan di khalayak ramai, mereka mungkin berdendam," katanya.
Emosi guru adakalanya tidak stabil dan tertekan. Jadi, jika guru biasa yang menjatuhkan hukuman, Azreena khuatir mereka akan memukul pelajar sekuat hati bagi menghilangkan tekanan itu.

Tetapi, itu tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak boleh dihukum. Elak memukul di bahagian sensitif seperti muka, perut atau kepala.
Pukul pula jangan terlalu kuat, cukup sekadar memberi 'pengajaran dan peringatan' supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud).

"Jika mahu memukul, lebih baik ibu bapa atau guru memukul anak dengan tangan kerana mereka dapat merasakan sendiri kesakitan dialami si anak," katanya.
Sementara itu, bapa kepada empat orang anak lelaki, Mohd Zaidi Syukri, 48, berkata beliau tidak ada masalah apabila anaknya dirotan kerana melakukan kesalahan.
"Jika hukuman itu boleh menyedarkan anak, kita patut menyokong, bukan membela anak yang melakukan kesalahan.
"Jika ibu bapa selalu membela, anak lebih berani melakukan kesalahan dan mungkin menconteng arang di muka kita nanti," katanya.
Menurut Zaidi, hukuman rotan bukanlah hukuman yang kejam kerana kesakitan dek rotan itu akan hilang juga.

Wednesday, 1 July 2009

NEGERI YANG MENANGIS

Tulisan yang menyentuh jiwa saya. Saya copy n paste ke blog saya. Kita semua perlu menghayati isu Palestin.

bismillah

Ya Allah,kami meletakkan Kamu diatas leher musuh kami dan kami berlindung dengan Mu dan kami berlindung dengan Mu diatas kejahatan mereka
ya Allah,leburkanlah kumpulan mereka,cerai beraikanlah pakatan mereka,goncangkanlah pendirian mereka, hantarkan anjing2 Kamu keatas mereka
Wahai Tuhan yang penuh raksasa,wahai Tuhan yang gagah perkasa,wahai Tuhan yg bersifat murka,ya Allah,ya Allah, ya Allah....
Wahai Tuhan yg menurunkan kitab,wahai Tuhan yang menggerakkan awan,wahai Tuhan yang mengalahkan bala tentera Al-Ahzab, kalahkan mereka,kalahkan mereka, kalahkan mereka dan menangkanlah kami keatas mereka!

amin
Tangisan Palestin
www.iluvislam.com
Oleh : sha shahida
Editor: naadherah



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Terasa pedih mata aku pagi ni. Entah kenapa tidur aku malam tadi langsung tak lena. Fikiran aku melayang jauh mengingati nasib saudara-saudara seislamku di Palestin.

Tidak tega rasanya untuk aku tidur beralaskan tilam yang empuk dan berselimut tebal menyelubungi kesejukan malam sedangkan mereka di sana hanya beralaskan bumi dan beratapkan langit kelam.

Tidak tega rasanya untuk aku menjamah sarapan pagi aku sedangkan mereka di sana berkongsi makanan sesuap adanya. Terputus bekalan makanan dek kezaliman Israel Laknatullah!

Seusai solat malam, aku kirimkan doa kesejahteraan buat mereka. Agar Tuhan Ya Rabbi memberi kekuatan dan ketabahan seperti para sahabat Rasulullah s.a.w.

Jihad mereka agung. Ingin membebaskan tanah kelahiran dari musuh. Darah mujahidin mereka tumpah demi membebaskan bumi suci umat Islam.

Sungguh tidak adil peperangan ini!
Sungguh berat sebelah perjuangan ini!

Rejim zionis berlengkapkan senjata pemusnah dan kereta-kereta kebal sedangkan pejuang Palestin hanya bersenjatakan batu-batuan, malah debu sekalipun!

Namun semngat jihad fi sabilillah yang ada dalam darah mereka langsung tidak gentar sedikitpun dengan keangkuhan Israel Laknatullah.

Kanak-kanak, pemuda-pemuda malah kaum wanitanya berjuang sehabis-habisan demi menegakkan agama Allah di bumi suci Palestin. Allahuakbar!

Islam pasti menang! Allah bersama mereka!

Tapi sehingga ke hari ini, dunia hanya berdiam diri. Apakah adil jika umat Islam lainnya hanya menonton simpati tanpa berbuat apa pun?

Apakah adil jika kuasa-kuasa basar dunia malah menyokong tindakan Israel laknatullah terhadap rakyat Palestin itu?

Kemusnahan dan kezaliman ke atas palestin dan rakyatnya seolah-olah bersuara,

“Wahai umat Islam dunia. Kami tidak menyangka bahawa darah kami, air mata kami ini semurah itu di mata kalian?”

“Kami tidak menyangka bahawa Coca Cola dan Mc Donald’s situ lebih bernilai daripada maruah kami!”

“Kami tidak menyangka bahawa kami hanya berjuang bersendirian!”

Terasa bagai jantung aku dirobek-robek melihat tontonan video kekejaman kalian wahai Israel.

Terasa bagai maruah suci Islam diinjak-injak hina.

Ingin rasanya aku bunuh tangan-tangan kejam yang menganjing-anjingkan saudara-saudara ku di sana.

Apakah tiada belas kasihan dalam hati kalian memperlakukan sesama manusia sekejam itu.

Salah apakah mereka terhadap kalian?! Menyekat ekonomi, ubat-ubatan mahupun makanan.

Wahai umat Islam. Telah berjaya zionis melaksanakan protokol-protokol mereka.

Menjauhkan umat Islam daripada agama Islam melalui hiburan, konsert-konsert, pornografi, pakaian mahupun cara hidup.

Telah berjaya mereka mentertawakan kita kerana sehingga kini tiada satupun umat Islam dunia mampu berbuat apa!!

Bersatulah wahai umat Islam!

“Ya Allah. Bantulah rakyat Palestin. Amin”





Friday, 19 June 2009

Ancaman meninggalkan solat Jumaat


MENINGGALKAN solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu Muslim.

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah S.A.W, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya: "Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?" (Muslim)

Huraian

Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan.

Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i seperti mana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir.

Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain daripada suatu kewajipan dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Monday, 15 June 2009

GURU TINGKATAN 6 VS GURU CEMERLANG


Ya Allah, susahnya nak buat keputusan. Pening kepala dan serba tak kena. Tapi aku pilih ikut rasa hati hasil istikharahku. Nabi Muhammmad mengajarkan ummatnya melakukan Solat Istikharah dalam membuat sesuatu keputusan. Nabi menegaskan bahawa tidak akan rugi malah diberkati jika melakukan Solat Istikharah. Ya Allah, semoga aku diberkati dengan pilihan yang aku dah buat.

Ini semua bermula bila aku ditawarkan dua tawaran serentak. Guru akademik Tingkatan 6 DG 44 dan Guru Cemerlang DG 44. Memang susah nak buat keputusan. Ini semua kerana apabila perjawatan guru tingkatan 6 dinaiktarafkan dengan penstrukturan semula.

Guru Cemerlang.....jawatan yang memang lama aku idamkan. 'Fast track' untuk naik pangkat...ye lah kerja pun mesti cemerlanglah. Aku yakin aku boleh buat. Tapi sayang, aku buat keputusan hasil istikharahku.......aku TERPAKSA tolak. uhuk.....uhuk.....uhuk....

Pada awalnya jenuh tanya dan telefon sana sini. Telefon kawan, tapi tak berani bagi pandangan jelas. Telefon NUTP, cakap dengan En. Phoon. Dia kata kena pilih, terpaksa sebab jawatan guru tingkatan 6 dah naik taraf. Tak boleh pilih dua-dua maa....kalau sebelum ni boleh. Telefon kawan, Kamarul, dia kata' hang pilih sendiri la'. Pilih mana untung. Kat sekolah, tanya kak-kak PT deme kata pilih la mana berkenan. Tanya pengetua pun, dia kata hang pilih la sendiri. Lo....kalo lagu ni penin kpalo....... Dalam masa yang sama terpaksa buat keputusan. Solat Istikharah dah buat 4 kali.........hati lebih berat kepada Guru Tingkatan 6. Memang pun, masa mohon hari tu semua kekuatan yang menyokong permohonan adalah Subjek Sejarah1 STPM. Sebagai pemeriksa, Guru Sumber JPN Perak, buat blog, dan beberapa bahan lain berkaitan form 6.

Akhirnya, aku sign tolak Guru Cemerlang dengan hati yang cukup berat. Aku rasa kepakaran aku kat form 6. (Rasanya la) .Lagi pun dah lama ngajar form 6, dah tak ngajar kelas bawah. Rasa seronok pun ada. Masalah disiplin yang teruk-teruk tak da. Harap ok.

Aku harap akan ada perubahan dasar nanti. Guru Cemerlang boleh ngajar form 6. Harap-harap JPN dan Kementerian Pelajaran nampak benda ni....dah cemerlang patut boleh la ngajar form 6 sama, kan ?

Coretan hatiku .........sebab hati masih teringat-ingat Guru Cemerlang yang terpaksa ditinggalkan.....buat sementara kerana dasar KPM.

Sunday, 14 June 2009

Jangan Hidupkan Aircond !

Bukalah tingkap terlebih dahulu sebaik memasuki kereta anda dan jangan sama sekali menghidupkan pendingin hawa. Berpandukan kepada kajian yang dijalankan, dashboard, sofa, pewangi udara menghasilkan Benzene, sejenis toksin yang menyebabkan kanser (carcinogen - ia dapat dikenal pasti melalui bau yang terhasil dari haba bahan plastik di dalam kereta).

Di samping menyebabkan kanser, ia juga bertindak sebagai racun bagi tulang, menyebabkan anemia dan mengurangkan sel darah putih. Tindakan ini jika dibiar berlarutan akan menyebabkan Leukemia, meningkatkan risiko menghadapi kanser di samping punca keguguran.

Kadar pendedahan Benzene yang dibenarkan ialah 50 mg bagi setiap kaki persegi. Kereta jika ‘diparking’ di kawasan berbumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400-800 mg Benzene. Jika dibiarkan di kawasan yang terdedah dengan tingkap yang tertutup pada suhu 60 darjah fahrenheit, tahap Benzene boleh meningkat sehingga 2000-4000 mg, iaitu 40 kali dari tahap yang dibenarkan... dan penumpang di dalamnya akan menyedut toksik yang berlebih2an secara tidak sedar.

Cara yang dicadangkan untuk mengelakkan perkara ini dari berterusan ialah dengan membuka tingkap dan pintu terlebih dahulu untuk memberi udara di dalam beredar keluar. Benzene adalah sejenis toksik yang boleh mencemar buah pinggang dan hati, dan sukar pula bagi tubuh manusia untuk menyahkeluarkan toksik tersebut .

Thursday, 11 June 2009

Berhenti Merokok

dont smoke

Ramai pelajar dah jadi perokok sama ada perokok tegar atau suka-suka. Tabiat buruk ni sukar diubah. Perlakuan ini bermula seawal sekolah rendah lagi. Ia dianggap trend yang dibanggakan. Bila merokok nampak hebat, macho, dan rasa lebih dewasa. Perasan !

Tulisan ini adalah sekadar panduan. Pokok pangkalnya adalah hati anda. Kalau anda betul-betul nak berhenti merokok, tentu boleh. Kalau tak bersungguh-sungguh, macam-macamlah alasan akan diberi. INGATLAH : ULAMAK MUTTAKHIR MEMFATWAKAN MEROKOK ADALAH HARAM !!!!

Jangan merokok

Sihat sepanjang hayat. Merokok meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda untuk mendapat 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan angin ahmar atau strok. Merokok boleh memberi kesan kepada hampir setiap organ dan tisu badan.

Mengapa saya harus berhenti merokok?

Merokok memberi keburukan kepada semua orang. Ia tidak memberi kebaikan kerana:

  1. Merokok memberi kesan buruk kepada orang di sekeliling anda terutama ahli keluarga.
  2. Ibu yang mengandung boleh melahirkan anak tidak cukup bulan, kurang berat badan atau mati selepas lahir.
  3. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok boleh:
    • Sering sakit dengan mengalami batuk-batuk, selsema serta jangkitan telinga, hidung dan tekak
    • Mengalami perkembangan paru-paru yang lemah
    • Mendapat asma

Apakah faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok?

Keputusan untuk berhenti merokok adalah untuk kebaikan diri sendiri dan kesihatan keluarga anda. Faedah-faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok ialah:

  • Panjang umur - Satu dari dua perokok akan mati lebih awal disebabkan penyakit berkaitan merokok. Merokok membunuh hampir 5 ribu rakyat Malaysia setiap tahun.
  • Mengelakkan dari bahan-bahan berbahaya - Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
  • Mencegah penyakit - Hampir 40 jenis penyakit yang berkait dengan merokok. Kanser paru-paru, sakit jantung, penyakit paru-paru yang kronik,strok dan ulser di bahagian lapisan kulit perut adalah antara penyakit-penyakit bahaya akibat tabiat merokok
  • Kehidupan yang lebih sihat - Mereka yang tidak merokok kurang mendapat batuk, selsema dan lain-lain penyakit pernafasan berbanding dengan perokok
  • Mencegah daripada mendatangkan keburukan kepada orang lain - bila anda merokok, ia memberi kesan kepada orang di sekeliling anda, di mana asap rokok tersebut boleh mendatangkan serangan asma dan lain-lain penyakit berkaitan dengan pernafasan
  • Menjadi contoh yang baik terutama untuk keluarga dan anak-anak.
  • Meningkatkan tahap kecergasan dan memiliki badan yang sihat
  • Meningkatkan deria bau dan rasa
  • Memiliki gigi yang putih dan nafas yang segar
  • Rambut dan pakaian tidak berbau asap rokok
  • Menjimatkan wang - Labur wang anda berbanding membeli rokok (RM5.00 sehari, pelaburan =RM 150.00 sebulan = RM 1800.00 setahun. Jika anda melabur untuk 10 tahun, anda sudah mempunyai RM18,000.00 dalam akaun simpanan anda).
  • Melindungi alam sekitar - Puntung rokok dibuang oleh perokok boleh menyebabkan kebakaran
  • Meningkatkan kesuburan.
  • Meningkatkan tahap 'kelakian'

Bagaimana hendak berhenti merokok?

Pelajari kaedah-kaedah yang betul. Banyak kaedah untuk berhenti merokok. Faktor yang paling penting adalah keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan.

  • Tetapkan tarikh untuk berhenti
  • Yakin diri
  • Buatkan nota peringatan
  • Katakan pada diri anda "saya bukan perokok"
  • Sentiasa berfikiran positif
  • Dapatkan sokongan
  • Gunakan terapi penganti nikotin
  • Amalkan 12M untuk berhenti merokok


Teknik berhenti merokok

Tip Berhenti Merokok 12 M :

  1. Melengah-lengahkan
    • Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar
  2. Menarik nafas panjang
    • Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan
  3. Minum air
    • Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein
  4. Menyibukkan diri
    • Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok
  5. Menjauhkan diri
    • Daripada orang yang merokok
  6. Mengelakkan diri
    • Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok
  7. Mengunyah sesuatu
    • Seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis
  8. Membasuh tangan selalu
  9. Mandi dengan kerap
  10. Meregangkan otot
    • Lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk
  11. Meditasi
  12. Memohon doa
    • Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha


Adakah saya kuat merokok? Adakah saya mengalami ketagihan rokok?

Anda boleh menentukan kebergantungan anda kepada tembakau dengan menjawab soalan-soalan di bawah.

cigarette


Status kebergantungan.

Ujian Modifikasi Fagerstrom untuk kebergantungan nikotin

  1. Berapa lama anda menghisap rokok yang pertama selepas anda bangun dari tidur?
    • Dalam masa 5 minit (3 mata)
    • 5 hingga 30 minit (2 mata)
    • 31 hingga 60 minit (1 mata)
    • Selepas 60 minit (0 mata))
  2. Adakah anda merasa sukar untuk tidak merokok di tempat larangan merokok seperti di gereja, sekolah, panggung wayang, perputakaan, dalam bas, di mahkamah atau di hospital?
    • Ya ( 1 mata)
    • Tidak ( 0 mata)
  3. Waktu merokok manakah yang paling anda benci untuk berhenti, waktu merokok manakah yang anda hargai
    • Yang pertama di pagi hari ( 1 mata )
    • Sebarang masa ( 0 mata )
  4. Berapa batang rokok anda hisap setiap hari?
    • 10 atau kurang ( 0 mata )
    • 11 hingga 20 ( 1 mata )
    • 21 hingga 30 ( 2 mata
    • 31 atau lebih ( 3 mata)
  5. Adakah anda merokok lebih banyak dalam beberapa jam pertama selepas bangun tidur berbanding dengan waktu lain pada hari tersebut?
    • Ya ( 1 mata )
    • Tidak ( 0 mata
  6. 6. Adakah anda masih merokok walaupun sakit dan berada di atas katil sepanjang hari, atau semasa mendapat selsema dan sukar untuk bernafas?
    • Ya ( 1 mata )
    • Tidak ( 0 mata )

    Pemarkahan:

    • 7 hingga 10 mata = sangat bergantung
    • 4 hingga 6 mata = sederhana
    • Kurang dari 4 mata= minima

Modified Fagerstrom test for evaluating intensity of physical dependence on nicotine. Adapted permission from Heatherton TF, Kozlowski LT, Frecker RC, Fagerstrom KO. The Fagerstrom test for nicotine dependence: a revision of the Fagerstrom Tolerance Questionnaire. Br J Addict 1991;86:1119- 27.


Kumpulan Sokongan

Malaysia Council For Tobacco Control (MCTC)