Wednesday, 10 June 2009

KAWAL NAFSU !

Kawal nafsu jadi manusia mulia.

 nafsu NAFSU adalah sebahagian daripada manusia dan manusia tidak boleh berpisah daripadanya selagi bernafas. Malah, dengan nafsu dunia menjadi indah dan begitu menarik. Dengan nafsu juga manusia mempunyai keturunan dan manusia boleh membangunkan diri dan tamadun, sehinggakan dengan nafsu manusia boleh menjadi pincang.

Barangkali ada juga orang beranggapan, jika tiada nafsu di dalam dirinya, tidaklah dia terikut-ikut dengan nafsu. Tetapi nafsu adalah anugerah Allah. Di dalamnya ada ilham baik dan buruk, seperti maksud firman-Nya: "Kami ilhamkan kebaikan dan keburukan di dalam hati manusia."

Berjayalah sesiapa yang dapat mendidik hati sebagaimana kalangan nabi dan rasul. Ini kerana mereka yang boleh menguasai hati mampu menguasai nafsu. Sebaliknya, mereka yang rosak hati menjadi tunggangan nafsu. Mulia atau hinanya manusia bergantung kepada sejauh mana manusia boleh atau tidak mengawal nafsu tetapi nafsu pula bukan untuk dibunuh atau dinyah daripada diri, cuma ia perlu dididik, diasuh dan dikawal sebaik yang mungkin.

Al-Quran membahagikan nafsu kepada tiga iaitu nafsu 'amarah' (nafsu jahat), 'lawwamah' (menyesal apabila buat kejahatan) dan 'mutmainnah' (tenang). Apabila buta martabat nafsu, manusia akan teraba-raba dalam kegelapan, malah tidak tahu kedudukan di sisi Tuhannya. Ada orang menyangka diri mereka mulia tetapi sebenarnya hina di sisi Allah. Ada orang dihina tetapi mulia di sisi Allah sebab berjaya mengawal nafsu. Ada juga orang berasa dia sepatutnya dimuliakan dengan kedudukan tetapi patut dihina di sisi Allah.

Bagi mengendalikan nafsu sama ada remaja atau orang dewasa, mereka kena mengetahui terlebih dulu pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu, iaitu:

* Terlalu cinta kepada dunia, sehingga tewas cinta Allah.

* Tamak haloba, hingga lupa kemahuan dan kemampuan diri. Maknanya, walaupun tidak mampu, mereka tetap mahukannya.

* Hasad dengki, iaitu berasa senang apabila orang lain mendapat musibah tetapi susah hati apabila orang lain mendapat kesenangan. Tidakkah dengki namanya itu?

* Wanita. Nafsu boleh rosak kerana wanita. Bagi lelaki, nafsu boleh jadi tidak terkawal apabila berdepan wanita.

* Gopoh gapah, maksudnya tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu.

* Taksub, iaitu sifat atau pegangan yang keterlaluan dalam menghadapi sesuatu. Disebut juga fanatik.

Selepas mengetahui pintu atau punca nafsu menjadi jahat, remaja perlu juga mengetahui cara untuk mengawal dan mengelakkan daripada bahaya nafsu jahat terbabit, antaranya:

* Tutup pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu tadi rapat-rapat.

* Hapuskan segala sikap kotor, jangan dengki lagi, jangan bersikap tamak dan jangan terlalu mencintai dunia.

* Hancurkan gangguan syaitan, iaitu dengan selalu berzikir terutama dengan zikir yang diajarkan Rasul seperti 'ma'thurat' dan baca al-Quran.

* Perbanyakkan solat sunat dan rajin-rajinlah bangun solat malam (qiyamullail) .

* Banyak bersedekah.

* Berkawan dengan orang miskin.

Remaja sekalian! Sebagai Muslim, kita juga kena membiasakan diri mempunyai al-Quran kecil di tangan. Ini kerana apabila tiba gangguan syaitan tadi, terus buka Quran kecil, mudah-mudahan kita sentiasa dilindungi Allah, sebab keinginan kita untuk berzikir (mengingati Allah).

Kemudian, biasakan diri selalu menziarahi orang sakit atau orang yang hendak meninggal dunia, ziarah kubur dan tulis wasiat kerana perkara ini boleh mengingatkan kepada kematian, menginsafkan kita dan paling penting mendidik dan menguatkan hati supaya dapat menewaskan nafsu.

Malek Noor dah insaf ! Alhamdulillah..!!

sumber : Naufara

malek noor

Artikel kali nie panjang sikit tapi kami mintak-mintak sangat anda baca. Memang tersentuh jiwa raga baca cerita Malek Noor dan kisah insaf dia. Patut lebih banyak selebriti-selebriti tampil dan ceritakan seperti apa yang Malek Noor cerita nie. Barulah boleh bagi role model sikit kat rakyat Malaysia. Baca artikel ini selengkapnya untuk ketahui kisah Malek Noor dan cerita insafnya.

SETELAH lebih 10 tahun tidak berjumpa dengan Malek Noor, 53, ternyata jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali ini amat berbeza daripada dulu.

Kalau dulu, apabila berjumpa mulutnya becok tak henti-henti bercakap pelbagai topik yang melucukan. Tetapi pertemuan minggu lalu menampakkan sisi lain Malek.

Sifat lucu dan becoknya hilang tiba-tiba dan yang nyata Malek hari ini tidak sama dengan Malek ketika baru berlakon filem Ujang pada akhir tahun 1980-an.

Perbualan petang itu berkisar tentang aktivitinya hari ini. Selain menjalankan perniagaan membekal barangan fitness di bawah syarikatnya Sportec’s Divemate Sdn. Bhd. Malek juga berlakon dan kini sedang menjalani penggambaran drama Damak dengan memegang watak Tok Guru.

Perbualan yang rancak petang itu, tiba-tiba menjadi hening seketika apabila Malek membuka rahsia hidupnya yang selama ini dipendam tanpa pengetahuan sesiapa.

“Dalam hidup saya hari ini, sebenarnya saya hanya mencari satu sahaja iaitu keredaan Allah. Walau apa juga yang saya lakukan untuk hidup, kejujuran adalah penting.

“Setiap waktu dan ketika saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga menerima ibadat saya, ampunkan dosa saya dan semoga Allah tetapkan iman saya dan menjadikan saya manusia yang soleh,” kata Malek dengan suara sebak.

Siapa sangka, seorang jaguh bina badan yang nampak gagah dan perkasa tiba-tiba menjadi seorang yang boleh dikatakan ‘lembik’ tiba-tiba.

Di satu sudut ruang coffee house di sebuah hotel di pinggir kota, Malek yang mulanya bersemangat tiba-tiba menangis menceritakan dosa-dosa yang telah dilakukan sebelum ini.

Dengan suara sebak dan mata berkaca, Malek Noor bercerita:

“Saya terlalu banyak buat dosa. Saya betul-betul insaf sekarang. Setiap saat dan ketika sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya.

“Dulu saya jahat. Saya tidak ingat mati tapi…kini saya betul-betul insaf. Kini setiap waktu walau sesibuk mana pun saya akan hadkan sekurang-kurangya 10 minit untuk menunaikan solat.

“Saya terlalu banyak buat dosa. Saya makan dan minum benda-benda haram. Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya takut, saya taubat dan saya menyesal. “Andai waktu boleh berputar, saya ingin kembali zaman kanak-kanak. menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati,” luahnya.

Zaman kanak-kanak

Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika zaman kanak-kanak lagi Malek merupakan anak yang susah hendak berpuasa. Kalau berpuasa pun cuma di depan keluarga. Di belakang, Malek curi-curi makan dan minum. Tetapi itu di zaman kanak-kanak, apa yang dibuat mungkin manis didengar.

Bukan itu sahaja, malah sejak berusia 12 tahun dan sehingga umur meningkat 46 tahun, sebenarnya Malek tidak pernah berpuasa, apa lagi menunaikan solat lima waktu sehari.

“Saya lupa pada tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Saya tak sembahyang, saya tak berpuasa. Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong selama lebih 30 tahun mengumpul harta kekayaan membuatkan saya lalai.

“Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Apa yang ada dalam fikiran saya hanya mencari harta dan nama.

“Sehinggalah suatu hari pada tahun 2002 semuanya berlaku tanpa saya duga. Ketika itu saya dengan berseluar pendek berdiri di Penthouse saya berdepan dengan bangunan KLCC.

“Tiba-tiba saya terdengar azan sayup dari masjid berhampiran dan meresap ke jiwa saya. Saat itu saya jadi tak tentu arah. Saya masuk ke rumah dan berpusing-pusing entah berapa kali dan saya tak tahu apa yang saya cari.

“Selepas berpusing-pusing macam orang gila, satu jam saya tak bertenaga. Saya menangis dan terus menangis. Tiba-tiba saya teringat sesuatu dan terus berwuduk kemudian menunaikan solat Maghrib. Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli pelbagai kitab mengenai Islam dan saya turut membeli sebuah al-Quran,” cerita Malek.

Bagi Malek, walaupun keinsafan dan kesedaran itu datang ketika usianya 46 tahun, dia tetap bersyukur kerana tahu Allah masih sayangkannya. “Malam selepas saya bersolat taubat, saya bermimpi didatangi arwah ibu, Jariah Ahmad yang menaburkan bunga emas pada saya.

“Selepas peristiwa itu saya pergi semula ke Hong Kong tetapi bukan untuk menetap di sana. Sebaliknya saya uruskan pemindahan syer perniagaan KK Design dengan rakan kongsi sebab saya memang tidak mahu menetap di sana.

“Ketika itu saya sudah membuat keputusan, saya mahu menetap di Malaysia untuk mencari seorang Muslim yang soleh. Bukan itu sahaja, malah saya mahu menjejaki akar umbi budaya Melayu yang telah lama saya lupakan.

“Setelah semuanya selesai, sejak 2006 saya terus menetap di KL dan tidak lagi ke Hong Kong. Kini saya benar-benar merasakan hidup ini amat bahagia dan tenang.

“Dalam kotak fikiran saya, hanya mahu melakukan suruhan Allah dan berbakti kepada masyarakat. Saya tidak sanggup lagi hidup bergelumang dosa dan noda.

“Cukuplah apa yang saya dah lakukan selama ini. Saya benar-benar insaf. Sejak itulah semua piala yang saya menang sebagai Mr. Asia saya buang.

“Dulu rumah saya penuh dengan patung-patung, tapi…semua saya dah buang. Kini rumah saya hanya dihiasi ayat-ayat suci al-Quran.

“Saya amat bersyukur kepada Allah kerana sejak saya bertaubat, sudah tiga kali saya khatam membaca al-Quran. Bukan itu sahaja, malah sejak tahun 2006 saya sudah menunaikan puasa enam, syukur Alhamdulillah,” kata Malek.

Kini kata Malek, walau apapun yang dilakukan oleh kawan-kawannya beliau tetap bersabar. Malah ada kawan yang meminjam duitnya dalam jumlah yang begitu banyak dan tidak mahu membayar semula, dia tidak pedulikan semua itu.

“Sekarang saya benar-benar reda dengan apa yang berlaku. Sama ada dia mahu bayar atau tidak, saya halalkan kerana bagi saya semua itu hanya harta dunia.

“Kini hidup saya mencari keredaan Allah. Insya-Allah saya akan tunaikan umrah tidak lama lagi dan jika diizinkan saya juga mahu menunaikan haji tahun ini,” Malek menyambung cerita.

Menurut Malek, semua yang dilakukan kerana sedar Allah benar-benar sayangkannya dan menerima taubatnya.

Bukan itu sahaja, malah mimpi berjumpa arwah ibunya yang memimpinnya masuk ke Masjidil Haram dan terus sampai di depan Kaabah benar-benar menggamit hati dan nalurinya untuk ke sana.

“Selepas saya menunaikan rukun Islam yang kelima, jika ada jodoh saya mahu berumah tangga dan membina keluarga bahagia yang hidup berlandaskan Islam.

“enghijrahan saya ini bukan sahaja memberi kesan kepada saya, malah adik beradik yang lain juga gembira. Sebab itu saya nasihatkan anak-anak saudara saya kalau buat jahat pun biarlah ada ruang untuk kita bertaubat di hati ini,” kata Malek yang juga pernah membintangi filem Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan yang terakhir Sahabat pada tahun 1999.

 

Kredit : ALBANJARI ONLINE

Wednesday, 3 June 2009

CIRI-CIRI AJARAN SESAT

Jika ada didalam sesuatu ajaran itu seperti dibawah ini, ia adalah diwartakan sebagai Ajaran Sesat. :-
1) Guru atau pengikut membuat pengakuan menerima wahyu.
2) Guru membuat pengakuan memegang kunci pintu syurga.
3) Mengaku bahawa gurunya sebagai nabi atau malaikat.
4) Mempercayai roh orang mati menjelma ke dalam jasad orang hidup.
5) Amalan seperti zikir boleh menangguhkan kiamat.
6) Pengikut tarekat mereka sahaja dijamin masuk syurga.
7) Mempunyai bahawa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang.
8) Mempercayai bahawa semua agama adalah sama.
9) Mempercayai ada lagi nabi selepas nabi Muhammad.
10) Penyerahan rohani / jasmani kepada guru melalui nikad batin.
11) Meminta pertolongan daripada orang yang telah mati.
12) Mempercayai bahawa dirinya atau pengikutnya sahaja yang layak mendapat   ma'unah (pertolongan) Allah.
13) Mengaku Allah menjelma dalam dirinya.
14) Mendakwa bahawa dirinya sebagai wakil nabi, boleh memberi sysfaat kepada muridnya.
15) Mendakwa bahawa wahyu turun selepas wafatnya Nabi Muhammad.
16) Mendakwa bahawa ajaran tarekatnya diterima terus dari Rasullullah secara jaga.
17) Mempercayai bahawa orang mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya.
18) Mempercayai bahawa orang tertentu tidak mati dan akan lahir semula sebagai Imam Mahdi.
19) Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung terus dengan allah melalui Nur Muhammad yang ada dalam dirinya.
20) Boleh memanggil roh orang mati dlam amalan menurun oleh bomoh atau tukang sihir.

21) Memansuhkan Syariah islam dan mengadakan syariat baru.
22) Meninggalkan sembahyang Jumaat keraan mengamalkan suluk.
23) amalan haji tidak semestinya di mekah, di tempat lain juga boleh.
24) Huruf huruf dalam kalimah hanyalah lambang.
25) Mempercayai bahawa bacaan2 seorang guru ke atas sesuatu benda seperti batu, gunung dan lain2 boleh memberikan kesan baik atau buruk.
26) Mengagung agungkan keturunan Yahudi sebagai kaum baik dan perlu dicontohi.
27) Mengaku diri sebagai Nabi Isa.
28) Mengaku diri sebagai Imam Mahdi.
29) mendakwa menjadi wali sedangkan dirinya bergelumang dalam maksiat.
30) Mengaku tahu perkara2 ghaib dan menilik nasib sesaorang.
31) Mengaku dirinya atau gurunya maksum
32) Menghalalkan nikah adik beradik
33) Mematuhi dengan buta tuli ajaran gurunya walaupun gurunya itu melakukan kesalahan an dosa.
34) Setiap murid dikehendaki menyerahkan diri, anak, isteri dan harta benda kepada gurunya.
35) Guru mendakwa bahawa tugas tugas Rasul diamanat kepadanya.
36) Islam sesaorang itu tidak sah jika tidak diislamkan oleh gurunya.
37) Semua manusia boleh melihat Allah di dunia ini.
38) Mendakwa melalui tarekatnya Allah menurunkan Nur (cahaya) di dalam badan Nabi adam turun menurun di dalam badan semua Nabi nabi dan seterusnya ke dalam badan Imam imam (Syiah) dan guru guru hinga kiamat.
39) Sebelum naik haji ke Mekah hendaklah bersuluk di panca Budi Medan atau di Medan sahaja.
40) Syeikh atau gurunya mendakwa mempunyai mukjizat.

41) Mendakwa dirinya sebagai penjelmaan sahabat sahabat nabi s.a.w.
42) Bersemadi di tempat tempat gelap memusatkan fikiran kepada satu satu hajat.
43) Jika ada kemusykilan dalam satu satu ajaran, murid dilarang berbincang sesama sendiri tetapi hendaklah dirujuk kepada guru.
44) Boleh meramalkan kedatangan Imam mahdi dan kiamat.
45) Pengikut boleh menerima kuasa luar biasa dari guru.
46) Pengikut pengikut lelaki dan perempuan dikehendaki diuji dalam bilik khas dan bersumpah tidak akan menceritakan kepada sesiapapun apa yang terjadi dengan guru dalam bilik itu.
47) Pengikut tidak boleh berkahwin dengan bukan pengikut ajaran itu.
48) Pengikut diwajibkan merahsiakan ajaran kalu tidak akan ditimpa bala.
49) Sembahyang tidak perlu berjemaah dan tidak perlu mengadap kiblat.
50) Gurunya mengaku Imam mahdi dan muridnya yang kanan Nabi Isa.
51) Nikah mengikut syariat hanyalah mengikut adat sebab itu dikehendaki dinikahkan sekali lagi dengan nikah batin.
52) Percaya kepada makhluk makhluk seperti kayu bata dan dan kuasa ghaib.
53) Perbuatan maksiat seperti judi, zina dan minum arak serta segala bentuk dosa boleh dilakukan oleh guru tarekatnya dan boleh dapat jaminan ampun dari Allah ke atas dosa pengikutnya.
54) Murid murid tidak boleh mengahwini wanita wanita yang diminati oleh gurunya.
55) Murid murid tidak boleh mengahwini janda gurunya.
56) Ibadat sembahyang berpada dengan "niat" (terlintas dihati) sahaja.
57) Menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah.
58) Quran mempunyai makna makna batin itulah sebenar keramat.
59) Makna Quran yang zahir itu kulit sahaja tidak berguna.
60) Islam itu ada zahir dan batin; Zahir itu kulit dan batin itu isi, bila dapat isi kulit tidak berguna lagi.

Bagi mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dengan mana mana perkara di atas segeralah bertaubat "NASUHA"

SENARAI AJARAN SESAT DI MALAYSIA

Berikut adalah senarai ajaran yang telah diwartakan sesat di Malaysia oleh Majlis Agama Islam Malaysia.
1) Nasrul Haq
2) Budi Suci
3) Al Watan
4) Budi Suci Sejati
5) Jawa Faradin
6) Silat Sunda Pukulan Ghaib
7) Tusuk Hikmat
8) Ilmu Kebatinan
9) Potong Maya
10) Naluri
11) Kaula
12) Haqqullah Syahadah
13) Rampai
14) Wali Suci
15) Kalimat Sakti
16) Silat Pukulan jarak Jauh
17) Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
18) Zikir Sha'ban Islam Haq
19) Asal Wujud Garis Laksamana
20) Al Ma'zat
21) "Trancendentel Meditation"- Maharsi Mahish Yugi
22) Abdul Manan bin Harun - Tolak Hadis Ilmu
23) Mentauhidkan Allah oleh Nasrun S.T. Qahar
24) Kumpulan Ikhwan / Al Mas
25) Kuasa Ghain (Tahan Diri)
26) Mohd. Nordin Putih
27) Nasrun S.T. Qahar
28) Roslan Katimun - Ajaran Wali Sembilan
29) Tariqat Naqsyahbandiah Kadirun Yahya
30) Wali Sembilan
31) Khatijah binti ali @ Puan Tijah
32) Syed Mutalib Bin Syed Mohd. Nordin
33) Ajaran Mohd. Seman Al Banjari
34) Al Arqam
35) Golongan Anti Hadis
36) Ajaran Juruzon bin Abdul Latif (Hj. Ahmad Al Walidie(Pak Su))
37) Syiah
38) Ajaran Hj.Ghazali Othman Hulu Kelang
39) Ajaran Hj. Kahar Ahmad
40) Ajaran Ilmu Tajali Ahmad Laksamana
41) Ajaran Ilmu Hakikat @ Jahar Dumin Hulu Langat
42) Tarikat Mufaridiah
43) Ajaran Hassan Anak Rimau
44) Tarikat Aurad Ismailiah
45) Ajaran Martabat Tujuh
46) Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
47) Ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh)
48) Ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit
49) Ajaran Ahmadiah / Qadiani
50) Ajaran Mohd. Nor Seman
51) Ajaran Ayah Pin
52) Ajaran Bahai


Kebanyakan Ajaran ajaran ini berada di Wilayah Persekutuan.
selainnyadi negeri Selangor , Kelantan , Negeri Sembilan , Kedah , Terengganu ,Melaka , Pulau Pinang , Johor , Perak , Serawak , Perlis Pahang danSabah.

Harap Maklum – Jangan mudah  terpedaya !

Rahsia Jenis Darah Dan Peribadi

Adakah jenis darah yang mengalir dalam tubuh kita mampu menggambarkan personaliti sebenar diri kita sendiri? Menurut salah sebuah institut di Jepun, kajian yang dilakukan ke atas jenis-jenis darah yang mengalir di dalam tubuh manusia ternyata mampu memberi gambaran terdekat mengenai keperibadian individu itu sendiri. Lets check it out..

DARAH O
Individu yang memiliki jenis darah dari kategori ini disifatkan sebagai individu yang setia, sabar dan sentiasa yakin terhadap keupayaan dan kebolehan diri sendiri. Selain itu individu dari kategori ini juga sering bersifat ingin menjadi ketua walau dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan khususnya yang melibatkan kerja-kerja berkumpulan. Sekiranya menginginkan sesuatu, anda akan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut walau dalam apa cara sekalipun. Ada kalanya anda dikatakan memiliki sifat cemburu yang agak kuat. Selain itu anda juga terlalu serius dalam persaingan sehinggakan ia mampu memberikan tekanan kepada diri anda sendiri.
Oleh yang demikian anda harus lebih bijak mengawal emosi diri anda agar tidak dikuasai dengan tekanan.

DARAH A
Keharmonian dan keamanan adalah matlamat utama dalam hidup anda. Anda gemar melakukan kerja-kerja secara berkumpulan dan anda juga gemar melibatkan diri dengan berpersatuan. Anda bijak bergaul dengan individu di sekeliling dan ternyata mereka juga sentiasa berasa senang untuk bekerjasama dengan anda.

Sikap sensitif, sabar, dan bertimbang rasa yang ada dalam diri anda itu melambangkan bahawa anda tergolong dalam kategori individu yang memiliki keperibadian penyayang. Walau bagaimanapun ada kalanya anda agak degil dan terlalu kuat bekerja sehinggakan tidak mengendahkan langsung waktu untuk berehat. Anda harus ingat, kesihatan juga perlu diutamakan. Jangan kerana terlalu leka dengan kerja-kerja anda itu, kesihatan diri pula yang terabai.

DARAH B

Sempoi! Itulah ungkapan yang paling rapat dengan anda. Anda lebih selesa dengan kesederhanaan. Dalam perhubungan pula anda adalah individu yang terlalu jujur dan lebih gemar berterus terang dalam apa jua perkara. Dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan, anda lebih gemar melaksanakannya dengan cara anda sendiri. Anda adalah individu yang kreatif dan fleksibel, mudah bagi diri anda untuk meletakkan diri sendiri dalam apa jua situasi mahupun kelompok golongan tertentu.
Anda adalah individu yang bijak bersosial. Namun ada kalanya sikap anda yang gemar berdikari dan tidak gemar meminta bantuan orang lain itu, mampu mendatangkan masalah buat diri anda dan sekali gus memperlihatkan kelemahan pada diri sendiri. Anda harus ingat bahawa, tidak semua perkara kita boleh menyelesaikannya secara bersendirian.

DARAH AB
Tenang dan bijak mengawal emosi, itulah keperibadian yang jelas terpancar dalam diri individu yang tergolong dalam kategori darah berjenis AB ini. Anda juga sentiasa menghormati orang lain dan ini menjadikan individu yang berada di sekeliling anda berasa selesa untuk berdampingan dengan anda. Anda juga memiliki sikap humor semula jadi dalam diri dan sentiasa bersikap menghiburkan dan ceria.

Namun ada satu perkara yang harus anda perbaiki dalam diri anda itu. Anda perlu lebih bijak dan berani untuk membuat keputusan sendiri. Jangan biarkan orang lain membuat keputusan untuk diri anda sendiri.

P/S: Betul atau tidak anda nilai sendiri …………….

Monday, 18 May 2009

HORMATILAH GURU…………SELAMAT HARI GURU 2009

Selamat Hari Guru kepada semua rakan guru. Kepada semua pelajar hargailah guru anda. Tidak semestinya hadiah sebagai tanda penghargaan, tetapi buatlah sesuatu yang menggembirakan hati guru anda. Kalau bagi hadiah memang 'besar' rasa hati guru yang mendapatnya. Betul......hemmmm. Bukan harga jadi taruhan, tapi ingatan tulus ikhlas tu. Saya ni cikgu yang kira garang juga. Tapi tengok tempat la. Emmmm, ada yang suka dan ramai juga dok membenci saya...biasalah cikgu disiplin. Ini jer lah hadiah yang saya dapat........yang orang beri ke saya.

OK. Yang saya nak paparkan sekarang adalah perkara yang membuatkan guru pening kepala terutama guru disiplin dan guru ambil berat soal akhlak pelajarnya. Perkara ni membuatkan guru tak meredhai kamu !

Patut ka budak sekolah bawa rokok ke sekolah ?? Patut ka budak sekolah merokok dan jual rokok ? Patut ka budak sekolah pakai seluar ketat ? Patut ka ........... Tolonglah fikir wahai budak sekolah sempena Hari Guru yang kamu tolong sambut ni.....Fikirlah pasal maruah diri…….. !

Simpan rokok dalam beg…… sekotak yop !!!

Rokok jenis apa tu ?

Dah diingatkan berkali-kali pasal rokok tapi buat pekak !

Nah, isap puas-puas ! tapi acah jer….

Kaki seluar standard dikecilkan macam seluar kartun !

Sunday, 3 May 2009

Buat Blog Lagi .........

Masa mesyuarat kat Pangkor hari tu, team Laman Web Sejarah ikut sekali. Em, nampak ok. Tapi yang nampak sibuk sekali rakan satu sekolah saya, Rohaiza. Saya dan team buat soalan sibuk bincang pasal soalan percubaan Sejarah 1 Negeri Perak.

Rupanya kat Pangkor tu hari Rohaiza udah buatkan blog untuk Gemilang Sejarah STPM JPN Perak. Sebab untuk PMR dan SPM dah ada. Dia tak cakap apa-apa pun masa kat Pangkor.

Rupanya tugas selanjutnya diserahkan kepada saya. Ikut katanya saya kena make up dan masukkan bahan ke blog tu. Kiranya tak jadi hal lah. Tapi bertambahlah kerja saya. Berblog lagilah saya...... tapi saya minat tak apa. Tapi slow-slow lah sikit..... banyak kerja lain nak buat.

Langkah permulaan, saya nak cakap sori kat Rohaiza sebab saya ubah layout dan segalanya kecuali username dan password. Ikut selera saya lah.... OK ye Rohaiza. Tentang pengisiannya kena bincang sikit. Apa kehendak JPN. Kata nak upload soalan Percubaan.... gi mana tu ? Tak ker bocor nanti kalau tak bubuh password.

Apa pun saya kan buat sehabis baik jika tugas ini diteruskan untuk saya lakukan. 7-9 Mei ni team soalan STPM akan berkampung kat Hotel Berjaya, Pulau Pinang. Jumpa semua di sana.
OK. ...........