Friday, 31 October 2008

Hari Raya Orang Kita

  Fikir Sejenak

Orang Melayu sangat menghairankan. Sifat suka berseronok sangat berakar umbi dalam jiwa raga mereka. Pantang ada majlis mesti ada makan-makan dan nyanyi-nyanyian. Tidak kira samada majlis orang agama atau sekular, perkara yang seronok-seronok ini pasti ada. Cuma upacara pengkebumian saja yang tak ada nyanyian, makan-makannya tetap sama.

Kemuncak semua perayaan dalam kalendar orang Melayu adalah sambutan Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Puasa. Semakin moden orang Melayu semakin canggih sambutan ini. Aku masih ingat zaman aku kanak-kanak dulu, mercun paling hebat ialah mercun tepek sebesar jari. Ada 'moonraker' yang bagai polong terbang melolong sebelum meletup di kaki langit. Agak canggih sikit adalah bunga api 'dush-dush' yang memuntahkan bunga api yang berwarna-warni. Kini bunga api berbagai jenis dengan mercun yang berbagai bentuk, bunyi dan rupa. Walaupun diharamkan kerajaan, bunga api dan mercun amat mudah didapati samada di pasaran gelap atau terang.

Hiburan hari raya sangat melampau. Semua stesen TV berlumba-lumba untuk menayang berbagai program Hari Raya. Lagu Raya lama dan ,dimainkan semahu-mahunya. Hiburan yang melampau-lampau ini telah sampai ke tahap memuakkan dan ada juga memualkan. Namun orang televisyen nampaknya seakan-akan syok sendiri dalam mempersembahkan program-program hiburan mereka. Bermula dari malam Hari Raya sampailah ke Hari Raya yg ke-10. Television dan radio kita tidak jemu-jemu memaparkan rancangan bersukaria menyanyi-nyayan. Rakyat Malaysia disogokkan dengan hiburan demi hiburan, nyanyian demi nyanyian sehingga menimbulkan kebosanan. Seakan-akan lansung tiada kesan puasa lapar dahaga selama sebulan!.

Ramadhan seperti tiada manfaat pada budaya berhibur orang Melayu. Kita nampaknya seperti melepaskan dendam kesumat bila datang Syawal. Bukankah matlamat ibadah puasa supaya kita bertaqwa. Cara kita beraya, Taqwa seperti makhluk yang salah alamat.

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa"
(Surah al-Baqarah:183)

Syawal 1429 baru sahaja berlalu. Tetapi jangan terperanjat kalau anda jumpa masih ada orang mengadakan majlis rumah terbuka pada hujung minggu ini. Boleh sahaja buat rumah terbuka dan panggil orang datang makan tetapi untuk bukan untuk meraikan Aidil Fitri. Jika niatnya untuk Aidil Fitri ini adalah sesuatu yang tidak kena, sesat. Lebih logik kalau rumah terbuka hujung minggu ini, adalah untuk meraikan Deepavali kerana Deepavali (Dewali) baru sahaja disambut dua hari lepas.

Tiada bangsa Islam lain di muka bumi ini melanjutkan sambutan Aidil Fitri selama sebulan penuh. Hanya bangsa Melayu Malaysia yang melakukannya dan budaya ini bukan datang dari turun temurun nenek moyang kita. Ia terbit sejak 10 ke 20 tahun kebelakangan ini. Baik puak-puak Islam UMNO mahu pun PAS, merayakan Aidil Fitri sepenuh-penuh bulan Syawal sangat berluasa. Dulu mungkin kita lihat hanya kebanyakan orang bandar yang balik dari kampung merayakan Aidil Fitri di rumah mereka pula. Sekarang Melayu kampung pun sudah mulai merayakan Aidil Fitri seperti orang bandar. Sebulan penuh.

Orang Melayu perlu kembali ke jalan sunnah. Kejayaan kita sebenarnya hanya berada dalam usaha kita menghidupkan sunnah di kala sunnah dipandang kuno oleh orang Islam sendiri. Para ulama dan ustaz-ustaz kita mesti memainkan peranan mereka memberikan ilmu yang hak kepada umat Islam. Jika tidak entah apa akan jadi pada generasi akan datang. Orgy di Hari Raya? Nau'zubillah.

Sekolah adalah tempat mula yang paling munasabah untuk membetulkan kembali minda umat. Kita perlu mengajar anak-anak kita bahawa hiburan berlebihan adalah salah. Hari Raya Aidil Fitri tidak sepatutnya disambut dengan berjoget dan bernyanyi-nyanyian yang melalaikan. Hari Raya sepatutnya dirayakan dengan takbir bersemangat seperti orang yang meraikan kemenangan. Bukan takbir yang mendayu-dayu sedih seperti orang meratapi sebuah kekalahan. Jiwa Melayu amat mendayu dalam takbir Hari Rayanya. (Satu kupasan analisis mengenai takbir sayu Melayu perlu dilakukan)

Anak-anak kita perlu diprogram semula agar generasi pelapis kita tidak melakukan kesalahan yang sama. Sekiranya anak-anak masih berbuat seperti kita sekarang, generasi akan datang akan lebih teruk lagi. Kita mungkin berhibur sakan dalam sepuluh hari pertama bulan Syawal, tetapi generasi kita nanti mungkin berdansa sebulan penuh di bulan Syawal. Kita mungkin mengadakan majlis rumah terbuka sepanjang Syawal, tetapi generasi akan datang mungkin merayakannya sebulan lebih awal dan sepenuh-penuh Syawal. Ingatlah, Syubahat pada hari ini besar kemungkinan akan jatuh kepada haram hari esok.

Akhirkata, Wahai umat Melayu Islam sekelian, keluarlah dari pelukan hedonisma ini kerana ia akan membawa kemusnahan. Isi lah dalam jiwa anak-anak kita dengan sunnah supaya generasi depan beroleh Falah. Itulah sebenarya kejayaan.


Sheikh Sambal
http://barukabordal .blogspot. com/

No comments: