Rasulullah SAW. bersabda, maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW. bersabda, bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga sebelum kamu beriman. Kamu tidak beriman sebelum kamu berkasih sayang antara satu sama lain. Tidakkah lebih baik kalau aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang kalau kamu buat nescaya kamu akan berkasih sayang iaitu sebarkanlah ucapan salam antara kamu”.
(Hadis riwayat Muslim)
Maksud hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa, masuknya seseorang ke syurga adalah disebabkan oleh kasih sayang sesama muslim. Namun untuk menjadikan setiap kasih sayang dinilai oleh Allah SWT. hanyalah sekiranya seseorang itu ada iman. Inilah susun atur jalan yang menyebabkan seseorang masuk syurga. Apa pun tindakan yang dilakukan di atas muka bumi ini mestilah dimulakan dengan iman, barulah amalan dan tindakan yang dilakukan ada nilai di sisi Allah SWT. Sebab itulah, banyak ayat-ayat Allah di dalam al-Quran menggandingkan kalimah iman dengan amal soleh. Umpamanya surah al-Asr: 1-3, maksudnya:
Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapkan kesabaran.
Setiap kalimah amal soleh akan didahului dengan kalimah beriman, menunjukkan bahawa amal soleh yang dilakukan hanya bernilai pada Allah jika sekiranya ada iman. Ini bermakna sebanyak mana amal soleh yang dilakukan jika tidak didahului dengan iman, ianya tidak bernilai di sisi Allah SWT.
Jadi, sewajarnyalah setiap muslim sentiasa memantapkan iman supaya segala amalan-amalan baik yang dilakukan walaupun sebesar zarrah (atom) atau seumpamnya, mendapat perhatian dan bernilai di sisi Allah.
Melalui ucapan salam, walaupun dilihat sangat kecil, tetapi ianya bernilai dan bermakna malahan mendapat ganjaran daripada Allah di samping mampu memupuk sifat kasih sayang sesama muslim seluruhnya. Bayangkanlah jika sekiranya ucapan salam digemakan di seluruh kawasan dan pelusuk alam secara serentak, sudah pasti akan menggerunkan kita dengan kehebatan ucapan tersebut. Perlu diingat, ucapkanlah salam dengan ucapan atau sebutan yang sempurna kerana ia merupakan doa kesejahteraan kepada seseorang. Memberi salam hukumnya adalah sunat tetapi menjawap salam hukumnya adalah wajib. Oleh itu ucap dan jawablah salam dengan sebaik-baiknya dan sempurna. Tidaklah ia diucap secara sambil lewa dengan sebutan yang tidak betul, bunyi yang tidak jelas dan seumpamnya. Biarlah ucapannya ringkas tetapi jelas.
Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil pengajaran dan peringatan daripada tazkirah ini.
Wallahu a’lam.
Disediakan oleh: Abd. Nasir Hj. Musa
CITU, UiTM Perak