Tuesday, 10 March 2009

Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI

 Dr Awang Sariyan

Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.

Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.

Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.

Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.

Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.

Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.
Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).

Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.

Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?

Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.

Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.

Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.

Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.

Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.
Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.

Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.
------

Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu China Beijing Foreign Studies University .

Saturday, 7 March 2009

Demo anti-PPSMI dihujani gas polis

Gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulangi peristiwa perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu.
ppsmi march 070309 crowd.jpg

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Peristiwa bersejarah pada 3 Mac 1967 itu bagi membantah Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), waktu itu antara lokasi penting kegiatan sasterawan dan intelektual Melayu.

Mereka merancang mengadakan bantahan ke Parlimen. Nombor '152' merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh fasal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Hari ini, selepas 42 tahun peristiwa penting dalam perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu, kira-kira 8,000 orang berarak dari Masjid Negara selepas jam 2 petang tadi.
Mereka bagaimanapun dihujani tembakan gas pemedih mata oleh polis di sekitar Kampung Attap, hanya beberapa ratus meter dari pintu masuk utama Istana Negara.
anti ppsmi rally 070209 climbing to palace

 

 

 

 

 

 

 

 

Peserta perhimpunan itu - yang asalnya hanya dibenarkan oleh polis diadakan di masjid tersebut - melanggar arahan polis yang melarang sebarang perarakan.
Mereka berhasrat membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu yang diperkenalkan sejak 2003.

Polis pada mulanya berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana melalui Lebuhraya Mahameru.
Untuk memintas sekatan polis di situ, kumpulan ribuan penentang dasar tersebut - termasuk pemimpin dan penyokong PAS dan PKR - bergerak melalui jejantas depan masjid menuju ke arah Kampung Attap melalui Jalan Syed Putra.
anti ppsmi rally 070209 tear gas

 

 

 

 

 

 

 

Polis melepaskan berpuluh-puluh das gas pemedih mata ke arah kumpulan penentang dasar PPSMI di situ bermula jam 2.40 petang sehingga memecahkan kumpulan tersebut kepada beberapa kelompok kecil.

Suasana kelam-kabut, orang ramai yang berpakaian putih dengan tulisan merah "Mansuhkan PPSMI" dan "Selamatkan Bahasa Melayu" - sebagai lambang membantah PPSMI - di barisan hadapan bertempiaran lari.
Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan belakang peserta perhimpunan terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju ke Istana Negara.
ppsmi march 070309 tear gas.jpg

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mereka bersurai seketika bagi mengelak kesan asap gas pemedih mata. Manakala sebahagian lagi terus berdegil cuba berarak ke istana walaupun diminta bergerak pulang ke masjid.

Polis antirusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan pendek menuju mahkamah syariah dari arah Jalan Syed Putra sewaktu mereka ingin pulang ke lokasi awal perhimpunan.

Sebahagian peserta demonstrasi telah kembali ke Masjid Negara selepas jam 3 petang tadi.
Ratusan orang ramai yang berkumpul di perkarangan masjid sekali lagi ditembak dengan gas pemedih mata. Beberapa das tembakan kedengaran.
Sementara di Istana Negara, kawalan lebih 150 anggota polis dan unit pencegah rusuhan FRU, termasuk kenderaan pemancut air.

Polis membuka semula laluan hampir jam 4 petang di Lebuhraya Mahameru dari kedua-dua arah yang ditutup selama 90 minit bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
anti ppsmi rally 070209 rally banner

 

 

 

 

 

 

 

 

Empat lelaki berusia, dijangka antara 30-an hingga 50-an, ditahan polis dan mereka dimasukkan di dalam sebuah trak di depan istana.

Butiran lanjut belum diperolehi. Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan pegawai polis di situ gagal.
Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad berjaya menyerahkan memorandum anti-PPSMI.
Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini menerima memorandum bersejarah itu di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu.
Bercakap kepada media selepas penyerahan tersebut, A Samad berkata rombongan pemimpin GMP pada asalnya merancang ke istana dengan kereta, bagaimanapun ia gagal kerana kesesakan.

"Saya berjalan (ke istana), sepatutnya diiringi dengan motokar," katanya.
anti ppsmi rally 070209 pak samad chokes

 

 

 

 

 

 

 

 

Tambahnya, inilah "pengalaman pertama" matanya pedih dan melalui keadaan tolak-menolak dalam kumpulan penentang PPSMI sewaktu menuju ke istana.

"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," katanya (dua dari kanan).
Perjuangan menentang dasar ini tidak akan berhenti hari ini, katanya lagi, malah ia akan diteruskan pada masa akan datang.

Selain Ketua I Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan beberapa sasterawan Melayu, pemimpin pembangkang yang kelihatan termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa, naib presiden Mohamad Sabu, setiausaha agung Datuk Kamaruddin Jaafar, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan naib ketua Angkatan Muda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Demo anti-PPSMI dihujani gas polis

Friday, 6 March 2009

TEMUDUGA SEBAGAI CALON JENAZAH

 image

SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN

KEKOSONGAN JAWATAN:
A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).
KELAYAKAN:

Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.
Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekahjariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya." Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk.
Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk. Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu : Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah! Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".

Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat.

Wallahu-a'lam. Semoga berjaya dalam temuduga ini.
Sila lihat tawaran-tawaran lain sebelum menjadi jenazah

Sumber : ~ e WoRLd